Salam perpaduan kepada semua individu yang sedang menelaah laman ini.

Baru-baru ini saya terkejut mendengar pengakuan beberapa pelajar bahawa mereka tidak arif sebutir perkarapun mengenai Perlembagaan negara. Bukan sahaja mereka, ada juga pihak tertentu membuat akuan yang sama. Dan ada juga orang yang mengatakan bahawa dia hanya pernah mendengarnya semasa berbual dengan rakan di kedai kopi. Mulut saya terkunci mendengar pengakuan mereka. Bagaimanakah terjadinya isu sebegini sedangkan kita anak Malaysia. Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh membawa perubahan untuk melestarikan kehidupan masyarakat. Tetapi adakah usaha kerajaan akan berjaya jika masih wujud pihak yang masih buta perlembagaan??? Bolehkah rakyat kita benar-benar memahami dan menyokong segala dasar dan projek kerajaan jika mereka buta perlembagaan???

Mengikut ilmu pembacaan saya, perlembagaan adalah sesebuah organisasi atau negara menjelaskan bentuknya, strukturnya, aktiviti-aktivitinya, sifat-sifatnya dan peraturan-peraturannya yang utama. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Perlembagaan yang mengandungi 183 perkara dan 15 fasal ini adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa 31 Ogos 1957 dan digubal oleh Suruhanjaya Reid.

Perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut tentang pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri, kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang Di-Pertuan Agong daripada kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, mewujudkan satu rupa bangsa, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan lain-lain. Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat dan bimbingan daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Untuk meminda perlembagaan, majoriti 2/3 perlu bersetuju terhadap pemindaan ini dan memerlukan persetujuan pada kedua-dua dewan iaitu dewan rakyat dan dewan negara di Parlimen. Perlembagaan Persekutuan dibahagikan kepada 15 bahagian manakala setiap bahagian mengandungi satu atau lebih atau artikel yang relevan.

Antara aspek-aspek utama dalam Perlembagaan Negara Malaysia adalah berkaitan dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Sementara itu Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan Hak Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga terkandung di dalam Perlembagaan Negara Malaysia.

Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri. Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang atau disekat. Malah bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.

Begitu juga halnya dengan agama Islam, walaupun secara rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara Malaysia ini. Pendeknya, tiada sesiapa pun, atau mana-mana pihak yang boleh menggugat hak asasi rakyat di negara ini.

Sebagai undang-undang yang tertinggi sifatnya, maka Perlembagaan Negara Malaysia mestilah dihormati, dijunjung tinggi dan dimuliakan. Sesungguhnya, jika keluhuran Perlembagaan negara Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah berlaku. Justeru itu, kestabilan negara juga akan tergugat sekiranya rakyat tidak menerima dan menghormati keluruhan Perlembagaan bagi negara Malaysia ini.Harap penjelasan saya dapat membuka mata pihak yang buta Perlembagaan.

TERIMA KASIH

 

 

Advertisements