Salam perpaduan buat anda semua,

Pagi tadi sempat saya baca akhbar berita harian sambil menghirup secawan teh di sebuah Restoran Nasi Kandar yang terletak di Taman Perumahan Daya, Johor. Sudah lama juga saya tak hayati berita-berita semasa akhbar tempatan. Pagi tadi berita yang paling menggembirakan adalah keputusan UPSR. Mengikut analisis akhbar tersebut seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus. Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Apabila kita meneliti keputusan tahun ini, jelas menunjukkan peningkatan yang cukup menggalakkan dari segi peratus calon yang lulus. Segala usaha, dedikasi serta pengorbanan pihak sekolah dan ibu bapa sudah menampakkan hasil yang cukup baik. hal ini terbukti apabila saya melihat petikan berita sebuah lagi akhbar tempatan yang mengisahkan kecekalan seorang ibu  yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.Murid itu disahkan menghidapi penyakit Osteogenesis Imperfecta iaitu sejenis penyakit kerapuhan tulang yang menyebabkan dia cacat. Murid itu yang bernama Siti Norfarah Hanim, 12, nampaknya tidak mudah mengalah hingga akhirnya mencipta kejayaan itu.

“Ini hadiah untuk ibu saya yang bersusah payah mendukung saya ketika menghantar dan mengambil saya sekolah setiap hari,” katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1, Pasir Mas. Syabas saya ucapkan kepada adik Siti kerana tekun dan tabah menghadapi pelbagai cabaran sehingga lulus cemerlang dalam UPSR.

Harap-harap semua pelajar ini terus berjuang untuk berjaya dalam hidup yang serba pantas ini.

Klik di bawah

cerita seekor katak kecil

Tahniah kepada semua murid!!!

Advertisements