Salam perpaduan kepada semua pembaca setia blog ini.

Bagi pengetahuan anda, dunia  pasca jahiliah ini pernah melihat ramai tokoh yang telah berjuang untuk mencipta atau untuk mendapatkan sesuatu bagi menghidupkan perkembangan hidup manusia. Tokoh-tokoh ini boleh dikatakan telah berusaha bermati-matian untuk mencapai objektif dan matlamat mereka selepas mengalami beratus-ratus kegagalan. Tetapi mereka mampu bangkit semula sehingga mendakap kejayaan yang sungguh memberangsangkan seperti yang dihajati. Misalnya, Albert Einstein, John F.Kennedy, Alexander Graham Bell, William Shakespeare, Thomas Edison, Napoleon Bonaparte, Christopher Columbus, Isaac Newton, Mohandas Karamchand Gandhi, ‘Umar ibn al-Khattab, Augustus Caesar dan beberapa orang lagi.

Persoalannya, adakah kita benar-benar mengingati atau menghormati tokoh-tokoh berkenaan? Saya pernah melihat beberapa buah gambar tokoh yang diedit dengan gambar orang lain bagi tujuan jenaka atau sindir. Gambar yang paling menyakiti hati saya adalah gambar tokoh kemerdekaan India, Mohandas Karamchand Gandhi atau lebih dikenali sebagai Mahatma Gandhi. Saya melihat gambar tersebut dalam profil facebook seorang penulis yang boleh dikatakan aktif dan berpengaruh di arus perdana dunia penulisan kesusasteraan melayu. Penulis ini telah mengedit muka Mahatma dengan mengubahnya dengan mukanya sendiri. Saya juga terperanjat dengan tindakan penulis ini yang boleh dikelaskan sebagai penulis prominen yang buta sejarah.

Adakah tindakan ini wajar kita sokong sedangkan kita telahpun diterapkan dengan unsur-unsur sejarah sebaik sahaja kita melangkah ke tahun 1 di sekolah?  Mungkin ada pihak yang mendakwa bahawa pengeditan gambar mahatma tidak begitu serius. Kita perlu faham bahawa, kita boleh memilih untuk mengikut dan menyanjungi prinsip dan fahaman mahatma tetapi kita tidak boleh sesekali cuba untuk menjadi diri mahatma sendiri. Mungkin juga hal-hal sebegini berlaku kerana seseorang itu jahil mengenai tokoh-tokoh mashyur dunia.

Kepada para pembaca blog ini, marilah kita bersama-sama berdiri teguh mempertahankan imej negarawan dunia dan kepada penulis yang mempotretkan dirinya sebagai Mahatma Gandhi, adalah menjadi komitmen saya untuk memperkenalkan tokoh kemerdekaan negara India tersebut.

Mohandas Karamchand Gandhi merupakan pemimpin politik dan tokoh spiritual tersohor yang lahir pada 2hb Oktober 1869 di Bandar Porbandar, Gujerat, India. Gandhi adalah salah seorang yang paling penting yang terlibat dalam pergerakan kemerdekaan India. Beliau adalah aktivis yang tidak menggunakan kekerasan, yang mengusung gerakan kemerdekaan melalui demonstrasi secara aman yang menolak kekerasan ‘Ahimsa’.

Apabila kita meneroka sejarah awal pejuang kemerdekaan ini, keluarganya dari kelas pertengahan dari kasta Vaishya. Bapanya, Karamchand, merupakan seorang Diwan atau Perdana Menteri di pekan tersebut. Manakala ibunya bernama Putlibai, adalah seorang wanita yang lemah lembut dan warak, dan menjadi sumber inspirasi bagi beliau.

Semasa Gandhi di sekolah rendah, beliau tidak menunjuk sebarang petanda akan menjadi seorang tokoh yang terkenal. Di sekolah beliau dianggap sebagai seorang pelajar yang “mediocre” atau sederhana dan merupakan seorang yang sangat pemalu. Namun sejak kecil lagi, beliau menunjukkan sifatnya yang berintegriti. Sewaktu suatu ujian ejaan beliau telah silap mengeja. Tetapi beliau enggan meniru kawannya, walaupun diberi peluang oleh gurunya. Beliau telah dikahwinkan pada usia yang muda iaitu pada umur 13 tahun kepada Kasturbai, seorang gadis yang sebaya dengannya mengikut adat orang India pada waktu itu.

Pada usia 18 tahun, beliau melanjutkan pelajarannya di University College London, England dalam bidang undang-undang. Di samping mempelajari undang-undang, beliau mula menunjuk minat dalam bidang keagamaan. Pelbagai kitab serta buku-buku keagamaan seperti Hindu, Kristian, Yahudi dan Islam telah menjadi bahan bacaannya. Pada 1891, beliau lulus peperiksaan akhirnya dan pulang ke India sebagai seorang peguam. Gandhi telah mulai merintis perjuangannya sejak di berada di Afrika Selatan. Pada tahun 1893 di mana beliau melihat adanya diskriminasi yang dilakukan oleh pemerintah setempat terhadap masyarakat India, serta masyarakat kulit hitam di sana untuk melakukan tindakan non-kooperasi terhadap pemerintah / penguasa Afrika Selatan. 

Selepas kembali ke India, beliau membantu dalam proses kemerdekaan India dari jajahan British; hal ini memberikan inspirasi bagi rakyat di koloni-koloni lainnya agar berjuang mendapatkan kemerdekaannya.

Rakyat dari agama dan suku yang berbeza yang hidup di India kala itu yakin bahawa India perlu dipecah menjadi beberapa negara agar kelompok yang berbeza ini dapat mempunyai negara mereka sendiri. Ramai yang ingin melihat penganut agama Hindu dan Islam berpisah dan mempunyai negara sendiri. Walaupun, Gandhi adalah seorang Hindu, beliau menyukai falsafah dari agama-agama lain termasuk Islam dan Kristian. Beliau percaya bahawa manusia tidak kira agama harus mempunyai hak yang sama dan hidup bersama secara damai di dalam satu negara.

Pada 1947, India mencapai kemerdekaan dan berpisah menjadi dua negara, India dan Pakistan. Hal ini tidak disetujui Gandhi. Pada 30 Januari 1948, Gandhi dibunuh seorang lelaki yang marah kerana kepercayaan Gandhi yang menginginkan rakyat Hindu dan Muslim diberikan hak yang sama.

Mahatma Gandhi tidak pernah menerima Penghargaan Perdamaian Nobel, meskipun dicalonkan sebanyak lima kali antara tahun 1937 dan 1948. Beberapa dekad kemudian, hal ini disesali secara umum oleh pihak Jawatankuasa Nobel. Ketika Dalai Lama dianugerahi Penghargaan Nobel pada 1989, ketua Jawatankuasa Nobel mengatakan bahawa ini merupakan “suatu cara untuk mengenang jasa Mahatma Gandhi”. Sepanjang hidupnya, aktivis Gandhi telah menarik berbagai komentar dan pendapat.

Misalnya, sebagai pemimpin Kerajaan British, Winston Churchill pernah berkata:

“Menyedihkan…melihat Mr. Gandhi, seorang peguambela daripada ‘Middle Temple’ yang menghasut, sekarang tampil sebagai seorang fakir yang biasa dari Timur, menaiki tangga Istana Viceregal dengan badan setengah telanjang.”

Begitu juga dengan Albert Einstein yang berkata mengenai Gandhi:

“(Mungkin) para generasi berikutnya akan sukar mempercayai bahawa ada orang seperti ini yang pernah hidup di dunia ini.”

Karya Mahatma Gandhi tidak dilupakan oleh generasi berikutnya. Cucunya, Arun Gandhi dan Rajmohan Gandhi dan bahkan anak cucunya, Tushar Gandhi, adalah aktivis-aktivis sosio-politik yang terlibat dalam mempromosikan gerakan anti-kekerasan(Non Violence) di seluruh dunia.

Kepada mereka yang buta sejarah, Mahatma Gandhi adalah pemimipin yang paling inspirasional pada awal abad 20. Advokasinya tentang ketidakpatuhan warga serta tanpa kekerasan adalah cara yang paling efektif untuk mencapai perubahan sosial yang mempengaruhi pergerakan-pergerakan lain di dunia, seperti perjuangan Marthin Luther King Jr. di Amerika Syarikat yang terinspirasi oleh perjuangannya dalam menuntut persamaan hak dan penghapusan diskriminasi antara masyarakat kulit putih terhadap masyarakat kulit hitam.

Sekiranya, ajaran Mahatma Gandhi diikuti, maka hal itu akan pasti dijauhi. Andaikan banyak pihak mahu mengikuti fahaman ahimsa (ajaran yang menolak kekerasan), maka korban kemanusiaan tidak akan terjadi. Kerana apabila kekerasan dibalas dengan kekerasan hanya akan melahirkan kebencian dan tidak melahirkan bibit-bibit permusuhan baru.  Gandhi mengajarkan kita pada pentingnya memperjuangkan sesuatu berdasarkan kebenaran. Lebih-lebih lagi, perjuangan itu juga harus berada di jalan yang benar dan bermoral. 

Harap semua yang menatap blog ini akan mendapat gugusan faedah daripadanya dan memahami serta menghormati tokoh kemerdekaan yang tersohor dalam sejarah dunia yang bernama Mahatma Gandhi.

Sumber: id.wikipedia.org/wiki/Mahatma_Gandhi , http://www.essortment.com , history1900s.about.com/od/people/a/gandhi.htm , http://www.mkgandhi.org/biography/index.htm

Advertisements